Oleh : Unit Komunikasi & Latihan
Gambar oleh: Unit Komunikasi & Latihan
HEPA ONLINE : Dengan slogan “Give With Heart, Accept With A Smile”, Jawatankuasa Pembangunan Kepimpinan Pelajar (SLDC) Maybank telah berjaya menyelaras dan melaksanakan program menderma dan memberi sumbangan kepada komuniti dengan melibatkan ramai pelajar antarabangsa.
Tujuan program amal ini adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan menyediakan keperluan asas seperti pakaian kepada mereka yang memerlukan.
Program ini telah dicadangkan oleh Dr. Oussama Saoula, salah seorang Felo INASIS Maybank, bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan dari segi pakaian terutama kepada anak-anak yatim, para gelandangan, dan juga turut disalurkan kepada mangsa bencana kebakaran mahupun banjir.
Matlamat program ini adalah untuk mengurangkan beban mereka yang terkesan dan mewujudkan perasaan sentiasa ‘sedia’ dan ‘memberi’ untuk orang ramai atau masyarakat.
Sumbangan terkumpul tersebut telah diserahkan kepada badan NGO Pertubuhan Kebajikan Prihatin Kedah, yang telah disampaikan oleh Prof Dr Abdul Halim pada 10 Mei 2022 di Surau Al-Alamin INASIS Maybank Universiti Utara Malaysia.
Dr. Oussama Saoula berkata ‘Projek-projek seperti ini wajar dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seterusnya melakar senyuman di wajah mereka’.