All News

BENGKEL KEMAHIRAN PENYELENGGARAAN PAIP AIR BERI MANFAAT KEPADA STAF HEPA

Oleh : Unit Komunikasi & Latihan
Gambar oleh: Unit Komunikasi & Latihan

HEPA ONLINE : Seramai 20 orang Pembantu Awam (PA) bagi mewakili pusat, unit dan Inapan Siswa di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UUM telah terpilih bagi bagi mengikuti Bengkel Kemahiran Penyelenggaraan Air Paip anjuran Unit Komunikasi dan Latihan, Bahagian Pengurusan Korporat, JHEPA baru-baru ini.


Bengkel yang dijalankan selama sehari itu bertujuan memberikan pendedahan ilmu kemahiran penyelenggaraan paip air kepada semua peserta yang terlibat agar dapat memahami dan membantu mengatasi masalah sistem perpaipan yang sering berlaku di organisasi masing-masing.


Bengkel ini telah dijalankan di Akademi Binaan Malaysia, Sintok dan dibimbing oleh tenaga pengajar yang bertauliah iaitu En. Azlan bin Abu Zarin (Tred Pluming PT), Bahagian Unit Latihan, ABM. Sepanjang sesi bengkel tersebut, beliau telah memberikan input berkaitan dengan penggunaan bahan kerja paip, kaedah radas kebersihan dan peraturan pemasangan, punca masalah pengaliran paip air, kerja baik pulih plumbing, kerosakan dan pembaikan serta diakhiri dengan proses amali.

En. Roslan bin Halim yang juga merupakan salah seorang peserta bengkel menyifatkan penganjuran bengkel seperti ini amat memberi manfaat kepada para peserta. Selain dapat membantu menyelesaikan isu berkaitan paip air di organisasi masing-masing, kos penyelenggaraan juga dapat diminimakan terutama apabila melibatkan kos upah bagi mendapatkan servis dari pihak luar.


“Dengan adanya bengkel seperti ini, kami dapat menyelesaikan masalah perpaipan dan mengetahui punca masalah paip air yang sering berlaku. Ilmu sebegini sangat membantu dan tindakan pantas lebih cepat diambil jika dapat mengetahui masalah yang dihadapi,” katanya.

Majlis penutup telah dirasmikan oleh En. Huzaidy bin Haji Hussain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UUM. Beliau berkata, bengkel-bengkel seperti ini akan sentiasa diadakan terutama melibatkan kemahiran agar Pembantu Awam di Jabatan ini dapat meningkatkan kemahiran tambahan dan fungsinya lebih bersifat multi-tasking.


Menurut beliau lagi, tidak ramai yang mempunyai kemahiran untuk menyelenggara paip air. Ilmu pengetahuan seperti ini tidak hanya berguna kepada organisasi, malah dapat diaplikasikan di rumah masing-masing dan dapat memberikan sumber pendapatan sampingan kepada para peserta jika dilakukan secara sambilan.