All News

NAIB CANSELOR UTAMAKAN KEBAJIKAN DAN KESELAMATAN PELAJAR UUM

Oleh : Unit Komunikasi & Latihan
Gambar oleh: Unit Komunikasi & Latihan

HEPA ONLINENaib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah meluangkan masa dengan mengadakan sesi perjumpaan bersama pemimpin pelajar di Auditorium Pusat Penginapan Pelajar (SAC).

Pada sesi tersebut Prof. Dr. Haim Hilman secara terus telah dapat mendengar masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dan akan memastikan penyelesaian dapat dijalankan seterusnya dapat memperbaiki mutu perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti.

Isu kebajikan pelajar adalah menjadi keutamaan pihak universiti kepada semua pelajar tidak mengira agama, bangsa dan keturunan. Walau bagaimanapun, Prof. Dr. Haim Hilman turut berpesan agar semua pelajar perlu mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti terutama dari segi penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan di Inapan siswa. 

Hal ini penting untuk dipatuhi oleh para Pelajar bagi mengelak sebarang risiko yang boleh mengundang kemudaratan kepada pelajar-pelajar itu sendiri.

Kebanyakan isu yang telah diutarakan oleh Pelajar-pelajar pada sesi perjumpaan tersebut adalah berkaitan dengan masalah asas seperti tandas, lampu jalan, tempoh pengoperasian kafeteria, kebersihan dan lain-lain.

Bagi memastikan masalah ini dapat dilaksanakan, Prof. Dr. Haim Hilman turut mengajak pegawai-pegawai dari Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan juga Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) untuk ambil maklum dan mengambil tindakan segera terhadap permasalahan yang diutarakan Pelajar-pelajar pada sesi tersebut. 

Yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad A’Linur Ahlam Abu Bakar amat berterima kasih atas kesudian Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah untuk bersama Pelajar bagi mendengar masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka.

Muhammad A’Linur Ahlam juga berkata, pelajar-pelajar perlu turut memberi kerjasama sepenuhnya terutama dari segi pematuhan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti serta menghargai usaha yang ingin dijalankan bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

Pada sesi itu juga, Haim Hilman turut menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan mendiang pelajar, Vinosiny A/P R Sivakumar. Menurutnya, pihak universiti terbuka dalam siasatan yang dijalankan dan memberikan komitmen penuh agar kematian mendiang mendapat pembelaan sewajarnya.

Di akhir sesi perjumpaan itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM Sesi 2021/2022 telah menyerahkan kertas cadangan untuk pertimbangan dan kelulusan penggunaan dan pengoperasian masa penuh bagi kemudahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah kepada Naib Canselor.