Oleh : Unit Komunikasi & Latihan
Gambar oleh: Unit Komunikasi & Latihan
HEPA ONLINE : Islamic Business School (IBS) telah menerima kunjungan pihak Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Universiti Utara Malaysia (UUM). Pertemuan membincangkan peluang-peluang geran yang diuruskan oleh CDC iaitu Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meliputi Geran KPT Career Advancement Programme (CAP) dan KPT State.
Perbincangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat IBS disertai Dr Mohd Sollehudin Shuib, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) IBS, Dr Nor Aina Md Khatib, Pengurus Sijil Professional Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) IBS, Dr Mohd Fikri Sofi, wakil pengurus Perancang Kewangan Islam Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM) IBS dan Muhammad Noor Fitri Ahmad, Pegawai Psikologi CDC.
Menurut Timbalan Dekan HEPA IBS, “Rentetan peratusan Graduate Employability (GE) yang rendah pada tahun 2021 menjadi pemangkin perbincangan. Setelah mendapat penjelasan mengenai KPT Penjana CAP, IBS bercadang untuk memohon sekurang-kurang dua projek KPT CAP berkaitan pensijilan halal dan perancangan kewangan Islam (IFP)”. Tambah beliau lagi, “Dua bidang ini mampu membuka peluang kerjaya kepada graduan. IBS turut fokus untuk mengemukakan projek pensijilan Ar Rahnu, Agen Hartanah dan pensijilan MyPusaka. IBS berharap projek ini mampu menyumbang kepada peningkatan GE pelajar IBS”.
Dalam perkembangan yang sama, Pegawai Psikologi CDC berkata “Pihak CDC akan menjadi perantara IBS dan KPT bagi projek KPT Penjana CAP dan KPT State. Pihak CDC memastikan semua dokumen yang diperlukan cukup untuk dihantar ke KPT”. Ulas beliau lagi, “Objektif CDC memastikan graduan mendapat pekerjaan setelah selesai menjalani latihan industri di syarikat tersebut. KPT akan menyediakan dana bagi bilangan pelajar yang diluluskan oleh syarikat setelah menjalani latihan industri dalam tempoh sebulan mengikut penilaian prestasi syarikat tersebut dan bekerja di syarikat tersebut sahaja”.