Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat
HEPA ONLINE : Kemudahan fasiliti dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah antara isu yang disuarakan oleh pelajar antarabangsa semasa sesi pertemuan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Ahmad Martadha Mohamed bersama pelajar antarabangsa dalam satu majlis Jamuan Aidilfitri yang dianjurkan oleh pihak INASIS Maybank, UUM baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, Profesor Dr. Ahmad Marthada berkesempatan mendengar pandangan dan cadangan beberapa pelajar antarabangsa yang hadir. Sesuai dengan objektif pertemuan tersebut, Profesor Dr. Ahmad Marthada telah meluangkan masa untuk mendengar sendiri masalah yang ingin disampaikan oleh pelajar-pelajar tersebut.
Kebanyakan isu yang diketengahkan oleh pelajar antarabangsa adalah berkisar tentang kemudahan fasiliti dan perkhidmatan yang ditawarkan di INASIS mereka mahupun di UUM. Mendengar semua pandangan tersebut, Profesor Dr. Ahmad Marthada komited untuk memastikan agar kekurangan dan kelemahan yang disuarakan dapat diselesaikan dalam tempoh masa terdekat oleh pihak pengurusan universiti.
Beliau juga percaya, kemudahan fasiliti dan perkhidmatan terbaik merupakan antara faktor utama yang boleh menarik minat pelajar dari luar negara untuk menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) selain menjadi pilihan utama pelajar luar negara datang kesini.
Pemimpin pelajar antarabangsa UUM, Muhammad Waseem Waheed Ahmad menyifatkan, program ini adalah platform yang terbaik bagi mereka menyuarakan pendapat dan cadangan mereka agar pelajar antarabangsa sentiasa diberi perhatian demi keselesaan mereka.
Rata-rata pelajar antarabangsa yang hadir amat berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Ahmad Martadha Mohamed serta pegawai-pegawai yang hadir kerana sudi meluangkan masa bersama mereka.
Majlis turut dihadiri Dekan (Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr Kamarul Azman Khamis, Pengarah (Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) En. Huzaidy Haji Hussain, Pengerusi Majlis Pengetua, Tuan Haji Mohd Fairus Bin Abd. Majid, Pengetua-pengetua Inapan Siswa, dan pegawai-pegawai UUM.