All News

UUM CDC: CDC ON DEMAND SEKALI LAGI MEMBIMBING HALUAN KERJAYA PELAJAR UUM

Oleh: Muhamad Adip Zulkeflee (Pelajar praktikum School of International Studies (SOIS)

Gambar: UUM CDC

 

SINTOK : Program Building Your Career: A Self Led Approach di bawah payung CDC On Demand High Impact Talk anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC) Jabatan Hal Ehwal Pelajar berjaya membuka mata pelajar UUM. Kejayaan program ini hanya boleh dicapai atas keberadaan Prof. Dato’ Dr. Abdul Kadir Din, Professor Emeritus UUM yang sudi mejadi panel jemputan program ini.

Seorang yang berpengaruh dan berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan penulisan, beliau merupakan penyandang Kursi Tun Abdul Razak dan salah seorang ahli lembaga pengarang delapan jurnal antarabangsa dalam bidang pelancongan. Beliau juga mengetuai sidang pengarang  Malaysia Management Journal dan merupakan bekas ahli lembaga pengarah Islamic Tourism Centre di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Menurut Prof Abdul Kadir, “ Industri pekerjaan pada hari ini menyediakan peluang kerjaya dan persekitaran kerja yang kondusif dan mudah diakses. Ditambah lagi dengan kemudahan maklumat di hujung jari, pembangunan kerjaya secara pendekatan kendiri semestinya lebih efisyen dan berimpak dari pendekatan tradisional”.

Tambah beliau, “Pendekatan secara kendiri memberi lebih banyak kebebasan dalam aspek pemilihan dan pembangunan kerjaya, tetapi perlu diingat bahawa mereka yang memilih haluan ini perlu sentiasa merefleksikan diri agar tidak timbul sifat pentingkan diri dan narsisistik”.

Dalam pada itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Nurul Najiha Byrose Khan merangkap moderator progam kali ini berkata, “Industri pekerjaan pada hari ini turut menekankan pembangunan dan pencarian kerjaya secara kendiri sebagai bukti seorang pekerja itu mampu bergerak secara berdikari ketika bekerja.”

Bagi pelajar praktikum dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Muhammad Mujahid Mustaqim Ibrahim, beliau meluahkan penghargaan kepada pihak CDC kerana telah memberikan pencerahan mengenai pendekatan kendiri dalam pembangunan kerjaya.

“Saya percaya pelajar-pelajar UUM yang lain akan mendapat kebaikan dengan menyertai program ini terutama sekali bagi mereka yang masih terkial-kial dalam memikirkan haluan kerjaya masing-masing”. Ujar beliau.