Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat
HEPA ONLINE : 3 falsafah utama perlu diamalkan dalam kalangan kakitangan di Jabatan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM). Falsafah yang ditekankan tersebut adalah HEPA prihatin, Mesra Pelajar dan Keserakanan. Ungkapan ini telah disarankan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) sempena Majlis Perjumpaan Pertengahan Tahun bersama-sama staf HEPA, Majlis Perwakilan Pelajar dan pemimpin-pemimpin Kelab serta Persatuan yang diadakan baharu-baharu ini.
Ketika menjalankan tugas di Jabatan HEPA, sikap perihatin terhadap permasalahan pelajar-pelajar perlulah dititikberatkan. Pelajar-pelajar perlulah dianggap sebagai anak sendiri dan mereka perlu diberi jaminan untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa dan sempurna semasa berada di dalam kampus.
Di samping itu Prof. Dr. Ahmad Martadha juga meminta agar setiap staf Jabatan HEPA sentiasa mesra terhadap pelajar-pelajar. Beliau menyelar mana-mana staf HEPA yang tidak memberi layanan yang baik terhadap pelajar-pelajar. Beliau juga memohon agar staf dapat mengelakkan perkara sedemikian dan bertugas dengan hati yang terbuka dan ikhlas serta membuang emosi negatif terhadap mereka. Sikap negatif yang ditunjukkan itu akan mencerminkan imej HEPA yang kurang baik dalam kalangan pelajar-pelajar terutama sekali dalam kalangan pelajar-pelajar antarabangsa.
Sebagai frontliners universiti, semua staf HEPA perlu mempunyai sikap keserakanan antara satu sama lain tanpa mengira pangkat dan darjat. Sikap sedemikian jika diamalkan akan memudahkan segala urusan dan dapat menyelesaikan segala permasalahan dengan baik.
Di dalam majlis tersebut, Prof. Dr. Ahmad Martadha telah menyampaikan cenderamata kenangan kepada staf HEPA yang bersara iaitu Encik Halimulihsan Bin Mustafa, Penolong Pengurus Asrama Kanan di INASIS SME Bank , Puan Badariah Binti Mohd.Zahir, Setiausaha Kanan di Pusat Kaunseling dan Puan Ku Arpah Bt. Ku Mansor, Pembantu Tadbir Kanan di INASIS Maybank serta kepada enam orang mantan staf HEPA yang telah bertukar ke jabatan lain.
Majlis yang diadakan di Dewan Bukit Kachi UUM itu turut dihadiri oleh Dr. Kamarul Azman Bin Khamis, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Encik Huzaidy B.Hj. Hussain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Timbalan-timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Pusat-pusat Pengajian, Pengarah Pusat serta Pengurus Bahagian dan Pusat di dalam HEPA serta Pengetua-pengetua INASIS.