Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar : Unit Komunikasi Korporat
HEPA ONLINE : Satu lawatan bagi meninjau Rumah Kayak Universiti oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) telah dijalankan di sekitar Tasik universiti. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk melihat kemudahan-kemudahan yang disediakan di tempat berkenaan bagi meninjau tahap kesesuaian dan keselamatnnya bagi kegunaan pelajar-pelajar.
Rumah Kayak Universiti yang diletakkan di bawah penyeliaan Pusat Sukan Universiti ini, telah didirikan di kawasan tersebut sejak tahun 1993. Hasil pemerhatian menunjukkan bahawa kawasan tersebut perlu dibaikpulih demi untuk keselamatan para pelajar yang menggunakannya. Bagi memudahkan pelajar-pelajar untuk datang menggunakannya, binaan Rumah Kayak yang lebih dekat dengan Inapan Siswa (INASIS) perlu diambil kira.
Menurut Prof. Dr. Ahmad Martadha, Rumah Kayak Universiti yang terletak di seberang Tasik Universiti dan berada jauh dari tumpuan pelajar-pelajar telah menyukarkan pelajar-pelajar untuk menggunakannya. Ujar beliau lagi, rumah kayak tersebut perlu dibaikpulih memandangkan ia telah usang dan juga mengalami beberapa kerosakan kerana telah kerapkali dinaiki air sekiranya berlaku banjir.
Turut hadir meninjau kawasan tersebut ialah Puan Noraini Abu Seman bagi mewakili Pengarah Jabatan Penyenggaraan Dan Pembangunan (JPP), Encik Huzaidy Bin Hj. Hussain, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Mohd. Nizar Bin Ahmad Padzi, Pengarah Pusat Sukan serta pegawai-pegawai dari Jabatan Pembangunan Dan Penyenggaraan UUM.