Oleh : Muhamad Adip Zulkeflee (Pelajar Praktikum School of International Studies (SOIS)
Gambar : UUM CDC
SELANGOR – Dua Pegawai Psikologi dari Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Bengkel Certified Solution Focused Career Coach di HC Consultant Sdn Bhd, Petaling jaya, Selangor baru-baru ini.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari tersebut bertujuan supaya Kaunselor Kerjaya di UUM dapat membantu mahasiswa bagi mencapai kualiti yang mereka mahukan dengan mengenal pasti kekuatan dan tujuan peribadi mereka.
Pegawai Psikologi CDC, Muhammad Noor Fitri Ahmad berkata, “Bengkel ini dapat memberikan satu pemahaman baru mengenai peranan Kaunselor Kerjaya itu sendiri di setiap organisasi. Malah, teknik yang digunakan dalam sesi tersebut dapat membantu pelajar supaya lebih bersedia untuk melangkah ke alam pekerjaan kelak.”
Ujarnya lagi, “Pelajar kita selalu melihat cabaran sebagai suatu halangan untuk menyerah dalam menjalani kehidupan ini namun dengan adanya bimbingan dari seorang pakar, mereka mungkin akan lebih jelas mengenai apa yang sepatutnya dilakukan kelak.”
Sementara itu, seorang lagi Pegawai Psikologi di CDC yang turut menjadi peserta , Nur Farah Johari merasa sangat bertuah kerana diberi peluang oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Pengurus CDC untuk bersama-sama menyahut cabaran Kementerian PengajianTinggi (KPT) untuk merealisasikan harapan melahirkan graduan yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing dengan tuntutan pelbagai industri kelak.
“Program ini secara tidak langsung dapat membantu saya mengenalpasti kekuatan diri sendiri dan memberi idea tentang bagaimana cara saya membimbing mahasiswa dalam membina kerjaya mereka di masa hadapan.”
Dalam pada itu, kedua Pegawai Psikologi yang hadir dalam bengkel ini perlu melengkapkan 20 jam sesi bagi Career Coaching untuk memperolehi sijil professional khas dalam program berkenaan.