All News

LIVING PURPOSEFULLY: RE-THINKING YOUR CAREER

Oleh : Siti Nur Athirah Binti Abdul Talib (Pelajar praktikum Faculty of Business, Economies and Social Development (FPEPS) Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Gambar : UUM CDC

Sintok : Passion, perkataan yang sering diungkapkan dalam Program CDC on Demand Living Purposefully: Re-thinking Your Career anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya (CDC), Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah mendapat sambutan hangat lebih 200 pelajar serta staf UUM secara maya yang terpersona dengan perkongsian Pengerusi Kluster Pendidikan dan Pembangunan Insan, Akademi Profesor Malaysia, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, sebagai panel jemputan bagi program ini.

Nama yang tidak asing lagi dalam kalangan profesor UUM ini merupakan seorang yang berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dengan pencapaian tersohor. Beliau juga merupakan seorang professor kanan di Pusat Pengajian Pendidikan UUM dan banyak melibatkan diri lebih dari 50 projek penyelidikan dan menerima geran dari pelbagai agensi mencakupi Intensification Of Research In Priority Areas (IRPA), Fundamental Research Grant Scheme (FRGS), The Ministry of Higher Education (MOHE), Higher Education Leadership Academy (AKEPT), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Yayasan Sime Darby, Kerajaan Negeri Kedah dan Yayasan Jowahaki. Beliau cenderung membuat penyelidikan melibatkan motivasi manusia, pembelajaran dan pengajaran di pendidikan tinggi, penglibatan dalam pembelajaran, kepelbagaian pelajar, pembinaan dan pengesahan ujian dalam domain kognitif-afektif telah melakar sejarah dalam kerjaya beliau. 

Menurut Prof. Dr. Rosna, “Graduan perlu menyertai organisasi dalam kampus dan masyarakat memandangkan ramai graduan yang masih kurang melibatkan diri dalam masyarakat dan tidak mempunyai kemahiran mengenai kemasyarakatan”. Tambah beliau lagi, “Pelajar digalakkan membina jaringan atau network di universiti walaupun mungkin memakan kos yang banyak. Jaringan tersebut merupakan satu pengalaman dan akan mendatangkan manfaat yang besar kepada pelajar kelak”. 

“Setiap pelajar perlu menetapkan matlamat yang jelas sebelum memasuki ke alam pekerjaan. Pelajar perlu menganalisis personaliti mereka dan jenis pekerjaan yang bakal diceburi agar sesuai dan seiring dengan kerjaya yang dipilih”. “Pada zaman era globalisasi ini, kita memerlukan pekerja yang berani dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi, pemikiran yang kritikal, dan mahir dalam mengadaptasi dan menyelesaikan sesuatu masalah”, jelasnya di samping beliau turut menyarankan agar pelajar harus meneroka lebih banyak peluang yang ada untuk sewaktu di universiti lagi bagi meningkatkan perkembangan kerjaya dan kepakaran serta potensi diri mereka. 

Tambah beliau lagi, “Seorang pekerja tidak mungkin boleh memilih atau menentukan siapa bos mereka di organisasi kelak. Justeru, pelajar perlu bijak membawa diri dalam persekitaran dan sentiasa mampu mengadaptasi diri dalam pelbagai keadaan. Untuk mengekalkan pekerjaan, pelajar digalakkan untuk menerokai dan cipta minat pada pekerjaan walaupun amat sukar pada mulanya. Minat atau Passion ini penting untuk memastikan kelangsungan hidup yang lebih bererti”. Beliau turut menyarankan agar setiap universiti melatih pelajar untuk menjadi insan yang lebih mampu berintegrasi dengan persekitaran, berdikari dan mempunyai pemikiran yang realistik. 

Sementara itu, menurut Timbalan Yang Dipertua 1 (Akademik) MPP, Kaavilash Nair a/l Jason Raja pelajar dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) selaku moderator berkata, “Saya begitu gembira dapat bekerjasama dengan CDC bagi program ini yang memberi keyakinan, pengalaman dan pendedahan kepada diri saya sebagai pemimpin masa hadapan. Ilmu yang dikongsi oleh Prof. Rosna sejajar dengan cabaran masa kini untuk graduan terus berdaya saing dan berdaya maju”. 

Pada waktu yang sama, pelajar praktikum dari Pusat Pengajian Antarabangsa, Muhamad Adip Bin Zulkeflee (SOIS), “Program ini telah berjaya memberikan kesedaran dan membuka minda saya untuk lebih banyak mengumpulkan maklumat yang berkaitan dengan kerjaya”.