Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat
HEPA ONLINE : Pada zaman milenial ini, peredaran masa dan kemajuan teknologi kini telah menyebabkan masyarakat kita, tanpa mengira usia, mengalami masalah depresi pada tahap maksima. Hal ini berlaku kerana persekitaran turut berubah menjadi lebih moden dengan membawa pelbagai cabaran baharu yang sukar buat masyarakat sejagat. Penularan pandemik Covid-19 seantero dunia telah menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Bagi para pelajar pula, mereka perlu berhadapan dengan pembelajaran secara dalam talian yang menyebabkan kewujudan pelbagai kekangan. Hal yang demikian telah menyebabkan masalah depresi menjadi semakin berleluasa di negara kita dan juga di segenap pelusuk dunia.
Untuk menangani masalah tersebut berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar Program Asasi Pengurusan, Universiti Utara Malaysia, Biro Kebajikan bersama Pusat Kaunseling UUM telah menganjurkan satu program yang bertajuk “Depresi: Derita Yang Dipinggirkan”. Pusat Asasi Pengurusan telah menjemput Pengurus Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia iaitu Puan Faezah binti Nayan untuk memberi pendedahan dan penerangan yang lebih lanjut tentang depresi. Program tersebut telah dilaksanakan secara dalam talian pada 16 Februari 2022, hari Rabu, jam 2.30 petang dan dihadiri oleh semua pelajar-pelajar Program Asasi Pengurusan. Intipati utama yang dibincangkan ialah mengenai simptom depresi, punca berlakunya depresi dan juga kesan sampingan kepada penghidap depresi.
Menurut beliau, depresi merupakan gangguan perasaan atau kesedihan yang berpanjangan. Masalah depresi boleh dihadapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, agama, bangsa mahupun jantina. Ceramah tersebut juga menyentuh mengenai beberapa punca dan simptom depresi. Antara tanda-tanda yang kerap dialami oleh seseorang penghidap depresi ialah gangguan atau kesukaran untuk tidur dan berkeinginan untuk membunuh diri. Beliau turut memberi penerangan tentang psikosis atau dengan erti kata lain depresi di tahap yang lebih membimbangkan. Psikosis boleh menyebabkan perubahan dari segi emosi, pemikiran dan juga perbuatan. Di akhir ceramah, Puan Faezah berkongsi tips mengenai cara-cara untuk membantu seseorang yang mengalami depresi supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan dengan segera.
Program tersebut turut dihadiri oleh Prof. Dr. Abdul Sukor bin Shaari, Pengarah Pusat Asasi Pengurusan, UUM, Prof. Madya Dr. Mohamed Ali bin Haniffa, Timbalan Pengarah Pusat Asasi Pengurusan dan staf-staf pengurusan Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia. Diharapkan agar semua yang menghadiri program ini mendapat manfaat dan dapat mengaplikasikan ilmu mengenai depresi dalam kehidupan harian.