All News

MPPUUM JAMBATAN PENGHUBUNG HEPA DAN PELAJAR

Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat

HEPA ONLINESatu majlis perjumpaan antara Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) Yang Berusaha Prof.  Dr. Ahmad Martadha Bin Mohamed dengan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Utara Malaysia (MPPUUM) telah diadakan semalam bertempat di Dewan Serbaguna, Pusat Penginapan Pelajar (SAC).

Pertemuan MPPUUM  yang diketuai oleh Yang Di Pertuanya Saudara  Muhammad A’linur Ahlam Bin Abu Bakar ini merupakan pertemuan rasmi yang pertama diadakan semenjak Prof. Dr. Ahmad Martadha memegang tampuk kepimpinan di dalam HEPA. Seramai 37 ahli MPPUUM telah hadir di dalam pertemuan tersebut. Mereka mewakili pelajar-pelajar UUM setelah memenangi  Pilihanraya Kampus (PRK) yang diadakan pada 16 Disember 2021 yang lalu.

Di dalam ucapan Prof. Dr. Martadha, beliau menyarankan supaya MPPUUM menjadi jambatan penghubung antara pengurusan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (HEPA) dengan pelajar-pelajar. Oleh yang demikian satu pendekatan kerjasama yang baik dan jitu perlu diwujudkan dan jika terdapat sebarang konflik  ia akan menjurus kepada satu keadaan yang kurang sihat serta akan merugikan di antara kedua-dua belah pihak.

Ujar beliau lagi, pihak pengurusan HEPA amat terbuka dengan sebarang perkara yang berkaitan dengan masalah pelajar-pelajarnya. Sebagai satu badan yang mewakili pelajar-pelajar, MPPUUM perlu memainkan peranan yang penting dalam membantu HEPA membentuk pembangunan modal insan pelajar-pelajar dengan melatih mereka untuk menjadi  seorang pemimpin yang baik dan berkarisma pada masa depan melalui kursus-kursus yang berbentuk kepimpinan serta menjalin kerjasama dengan organisasi lain dan NGO-NGO di samping menerapkan jiwa mereka dengan semangat patriotisme yang tulin.

Menurut Saudara Muhammad A’linur Alam YDP MPPUUM, pertemuan ini merupakan satu yang amat dinanti-nantikan oleh mereka. Selain dapat  berkenalan dengan lebih dekat bersama Prof. Dr. Martadha, mereka juga dapat meluahkan sebarang masalah yang timbul bagi mendapatkan penjelasan dan pandangan dari beliau.

Turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Encik Huzaidy Hj. Hussain, Pengurus Bahagian Pembangunan Pelajar, Pegawai-pegawai dan staf-staf HEPA.