All News

YBRS. PROF. DR. AHMAD MARTADHA, TIMBALAN NAIB CANSELOR (HAL EHWAL PELAJAR & ALUMNI) BAHARU

Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat

HEPA ONLINEYang Berusaha Prof. Dr. Ahmad Martadha Bin Mohamed, 52 telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor  Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (TNC HEPA) yang baharu menggantikan Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali. Surat pelantikan yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu menjadikan beliau merupakan TNC HEPA UUM yang ke sebelas. TNC HEPA UUM yang pertama adalah Yang Berbahagia Prof. Madya Abdul Hamid Bin Ayob (1984-1987).

Prof. Dr. Ahmad Martadha anak kelahiran Tanjong Piandang, Perak pernah menyandang jawatan Dekan Pembangunan Pelajar dan beberapa jawatan penting di peringkat universiti sebelum ini. Beliau juga pernah menjadi Pengetua Kolej Kediaman (sekarang Inapan Siswa) Tradewinds dan mempunyai banyak pengalaman berkaitan dengan hal ehwal pelajar.

Satu majlis sambutan ketibaan Prof. Dr. Ahmad Martadha telah diadakan baharu-baharu ini bertempat di Kompleks Ahmad Fawzi yang merupakan bangunan induk Jabatan Hal Ehwal Pelajar. Majlis telah dimulakan dengan upacara mengetit jam perakam waktu  dan diikuti dengan satu taklimat ringkas HEPA yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Massudi Bin Mahmuddin, Dekan Hal Ehwal Pelajar.

Ketika ditemui, Prof. Dr. Ahmad Martadha mengucapkan penghargaan terima kasih beliau kepada Menteri Pengajian Tinggi yang memberi kepercayaan melantik beliau menjalankan amanah sebagai Timbalan Naib Canselor (HEPA). Ia merupakan satu tanggungjawab yang besar kerana  melibatkan masa depan pelajar-pelajar yang merupakan generasi dan pemimpin negara pada masa hadapan.

Beliau berjanji  akan menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik yang mungkin dan sangat mengharapkan supaya warga HEPA dapat  membawa bersama-sama wadah untuk membangunkan HEPA berdasarkan kepada pendekatan mesra pelajar. Ujar beliau jika semua warga HEPA mendokong falsafah tersebut maka ia akan dapat membantu pelajar-pelajar untuk mengkatkan kecemerlangan akademik dan menyediakan mereka supaya menjadi  seorang yang beretika dan berintegriti nanti.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengarah-pengarah Bahagian dan Pusat HEPA serta Pengetua-pengetua Inapan Siswa (INASIS).