PSUKAN ONLINE : Dua orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Universiti pada Majlis Anugerah Sukan MASUM 2019 semalam bertempat di Hotel Holiday Inn, Melaka.
Saudara Muhammad Faqih bin Che Lah, merupakan pelajar Sarjana Muda Perbankan dengan Kepujian telah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Universiti Kategori Lelaki. Kejayaan Muhammad Faqih ini adalah hasil pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2019 apabila memperolehi dua pingat emas dalam Kejohanan Silat Antarabangsa 2019 dan Karnival Sukan MASUM 2019 dalam acara silat olahraga.
Sementara itu, Saudari Wan Nur Fatin Shahirah binti Wan Shuhaimi, pelajar Sarjana Muda Sains Kuantitatif (Sains Pemutusan) dengan Kepujian telah dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Universiti Kategori Wanita dalam sukan futsal.
Sepanjang penglibatannya pada tahun 2019, Wan Nur Fatin Shahirah telah mewakili pasukan Malaysia KPT ke Kejohanan Sukan Persahabatan Atlet Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia dan Indonesia (SUKMALINDO) dan satu pingat perak Karnival Futsal Wanita IPT 2019.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato' Seri Abdul Razak bin Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.
Kejayaan kedua – dua atlet ini turut disaksikan oleh Yang Berusaha Encik Mohd Nizar Bin Ahmad Padzi, Pengarah Pusat Sukan yang turut hadir dalam majlis tersebut.