Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat
HEPA ONLINE : Jabatan Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni melalui Inapan Siswa (INASIS) telah melaksanakan projek naik taraf kemudahan pelajar Kumpulan Inovatif Dan Kreatif Siswa (KIKS) baharu-baharu ini. Projek yang bermula sejak tahun 2021 telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Hendrik Bin Lamsali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni pada 25 Januari 2022 yang lalu.
Projek yang diadakan itu adalah bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengasahkan bakat mereka serta menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan seni dan budaya di INASIS masing-masing. Kos untuk mengadakan dan menaiktarafkan bilik-bilik berkenaan adalah di dalam lingkungan harga RM20 ribu sehingga RM30 ribu. Di antara INASIS yang terlibat adalah INASIS MAS/TNB yang menyediakan studio tarian dan band manakala INASIS MISC/BSN dan INASIS Bank Muamalat/ Yayasan Al Bukhari masing-masing dengan studio karaoke dan INASIS Bank Rakyat dengan studio aktiviti muzik.
Menurut Prof. Madya Dr Hendrik, projek ini sangat baik kepada pelajar-pelajar kerana mereka dapat menghilangkan stress dan memupuk bakat yang ada pada mereka dan dapat bergerak aktif dengan kehidupan di dalam kampus. Di samping itu juga pelajar-pelajar juga akan dapat meningkatkan keyakinan diri mereka serta mewujudkan interaksi yang baik di antara satu sama lain.
Turut hadir menyaksikan perasmian tersebut adalah Prof. Madya Dr.Massudi Bin Mahmuddin, Dekan Hal Ehwal Pelajar, Encik Noor Azman Bin Yusof, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pengetua-pengetua INASIS, wakil dari Jabatan Pembangunan Dan Penyenggaraan UUM serta penolong-penolong pengetua, staf-staf dan pelajar-pelajar INASIS masing-masing.