All News

UBAH CARA BERFIKIR NAIB CANSELOR

Oleh : Pusat Pembangunan Mahasiswa Holistik (PPMH)
Gambar oleh: Pusat Pembangunan Mahasiswa Holistik (PPMH)

HEPA ONLINEUbah cara berfikir, itulah ungkapan yang dilontarkan oleh Yang Berusaha Prof. Dr. Haim Hilman Bin Abdullah, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika berucap di dalam majlis penyampaian watikah pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2022/2023. Majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Senat itu telah menyaksikan seramai 41 orang ahli MPP menerima watikah pelantikan tersebut.

Di dalam majlis tersebut, Saudara Muhammad A’Linur Ahlam Abu Bakar Yang DiPertua MPP telah mendahului senarai penerima watikah di samping mengetuai bacaan lafaz ikrar di hadapan Naib Canselor. Barisan ahli MPP pada kali ini telah dipilih melalui proses pengundian secara dalam talian yang telah diadakan pada 16 Disember 2021 yang lalu akibat daripada penularan pandemic Covid-19 dan seramai 41 ahli MPP yang telah terpilih merupakan mereka yang mewakili kawasan umum dan juga pusat-pusat pengajian.

Di dalam ucapannya,  Prof Dr.Haim Hilman,  telah menyarankan supaya setiap ahli MPP dapat berubah cara berfikir dan bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran yang mendatang terutama sekali  ketika berada di zaman ledakan maklumat ini. Ujar beliau lagi, ahli MPP perlu berperanan sebagai  ‘wakil rakyat’ dan menjadi tali penghubung di antara pihak pengurusan universiti dengan pelajar-pelajar yang lain  dan ini dapat meningkatkan reputasi mereka dan membangkitkan kegemilangan universiti.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Berusaha Prof. Madya Dr. Hendrik Bin Lamsali, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni , Encik Ahmad Rasidi Bin Abdullah, Pendaftar UUM serta pegawai-pegawai kanan universiti.