All News

FORUM DON’T HIDE, SPEAK UP! TINGKAT KESEDARAN TENTANG GANGGUAN SEKSUAL

Oleh : Pusat Pengurusan Asasi UUM
Gambar oleh: Pusat Pengurusan Asasi UUM

HEPA ONLINEDon’t Hide, Speak Up and Seek Help!’ merupakan mesej utama yang disampaikan dalam program bual bicara bertemakan kesedaran gangguan seksual dan sexual grooming anjuran kaunselor pelatih Pusat Asasi Pengurusan (PAP) dengan kerjasama Persatuan Kaunseling & Psikologi UUM (PERKAP) baru-baru ini.

Forum tersebut menampilkan dua orang ahli panel iaitu Dr. Norazlina binti Zakaria, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial, UUM dan ASP Hjh. Ellyia Ullfah binti Hj. Mazlan, Penolong Penguasa Polis D11 Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, JSJ Bukit Aman.

Dr. Norazlina menjelaskan bahawa gangguan seksual adalah sebarang tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini melalui lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Wanita dan lelaki boleh menjadi mangsa atau pelaku serta boleh terjadi di antara sama jantina atau berlainan jantina.

“Jika anda merupakan salah seorang mangsa kepada gangguan seksual, jangan hanya mendiamkan diri dan membenarkan perkara tersebut berterusan. Apa yang perlu dilakukan adalah jangan menyalahkan diri sendiri kerana ianya bukannya kesalahan mangsa, beritahu orang yang boleh mententeramkan emosi anda. Laporkan kepada pihak polis dan berjumpa dengan doktor perubatan serta dapatkan konsultasi dari kaunselor”, ujarnya.

Tambahnya lagi, gangguan seksual bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah oleh masyarakat kerana ia boleh berlaku pada sesiapa dan di mana-mana sahaja serta meninggalkan kesan trauma kepada mangsa. Justeru, peranan ahli keluarga sangat penting bagi mengesan perubahan tingkah laku dalam kalangan ahli keluarga, terutamanya kanak-kanak.

ASP Hjh. Ellyia Ullfah juga menegaskan supaya ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon bimbit anak-anak mereka supaya tidak terdedah kepada video pornografi. Ujar beliau lagi, pihak polis pernah mengendalikan kes di mana kanak-kanak meniru aksi porno yang ditonton dalam youtube sehingga berlaku perkara yang tidak diingini.

Beliau turut menjelaskan tentang Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang terpakai bagi kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun. Akta ini telah meluaskan skop  jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang meliputi kesalahan pornografi, pengantunan  kanak-kanak (child  sexual grooming) dan amang seksual. Prof. Madya Dr. Mohamed Ali bin Haniffa, Timbalan Pengarah (Pembangunan Pelajar), Pusat Asasi Pengurusan UUM dalam ucapan penutupnya, mengharapkan penganjuran forum ini dapat memberi pengetahuan yang lebih mendalam berkenaan pencegahan dan pengendalian kes salah laku seksual serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti, terutamanya dalam institusi pendidikan.

Menurut beliau lagi, penganjuran program seumpama ini diharapkan akan dapat memberikan manfaat dan impak positif kepada para peserta. Sesungguhnya, segala ilmu pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang telah dikongsi oleh para panel amat berguna kepada para peserta. Beliau turut mengucapkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada ahli jawatankuasa program tersebut.

Dalam sesi tersebut juga telah diselitkan tentang promosi Program Asasi Pengurusan UUM kepada para kaunselor sekolah pelajar tingkatan lima yang menyertai program tersebut ecara maya.

Turut hadir ialah Puan Nur Shazwani Shariffudin, selaku penyelaras program, Noor Izzati Mohd Shabri, selaku pengarah program, ahli jawatankuasa program dan 141 orang pelajar Program Asasi Pengurusan Sesi 2021/2022. Sebanyak 1,000 tontonan telah direkodkan menerusi facebook live PAP. Rakaman program ini boleh ditonton menerusi pautan berikut: https://fb.watch/aDqQAIBKAh