All News

SANTAI INSPIRASI MUSIM 2 : ADAB MENZIARAHI JENAZAH

Oleh : Unit Komunikasi Korporat
Gambar oleh: Unit Komunikasi Korporat

HEPA ONLINECerita kematian sudah menjadi perkahabaran normal pada hari ini. Tiap-tiap hari kita dikhabarkan dengan kematian khususnya melibatkan kes Covid-19. Tanpa disedari, sebenarnya mati semakin menghampiri kita semua. Kematian boleh datang dalam husnul khatimah atau suu’ul khatimah. Namun, keadaan tersebut adalah pengetahuan Allah SWT sahaja dan kita sebagai manusia tidak boleh sewenang-wenangnya menilai kematian seseorang.

Sudah menjadi kebiasaan di dalam kalangan masyarakat kita untuk menziarahi jenazah dan keluarga si mati atau orang yang terkena musibah. Amalan ini amat mulia di sisi Islam. Amalan ini mampu mengubat hati keluarga si mati yang sedang bersedih. Namun terdapat adab yang perlu kita penuhi. Ajaran Islam amat mengambil berat tentang kepentingan mengeratkan hubungan silaturrahim. Justeru itu, kita perlulah mengikut adab-adab yang telah digariskan oleh Islam agar ziarah tersebut tidak menyentuh sebarang sensitiviti kepada keluarga si mati.

Apabila kita menziarahi orang meninggal ada beberapa adab yang perlu kita patuhi bersandarkan kepada hadis Baginda SAW. Di antaranya adalah dengan mengucapkan takziah kepada keluarga si mati. Umat Islam digalakkan memberi nasihat kepada keluarga si mati supaya bertenang dan bersabar menghadapi ketentuan ilahi ini. Imam asy-Syafi’e RA  menjelaskan bahawa sunat memberi ucapan takziah kepada kaum kerabat si mati, ahlinya yang tua dan yang muda, lelaki dan perempuan.

Di samping itu juga, mereka yang datang menziarahi si mati perlulah jangan banyak bercakap dan berbual. Dilarang orang-orang yang menziarahi keluarga yang baru ditimpa kematian hadir di tempat rumah tersebut dengan bergurau senda dengan teman-teman yang lain. Tidak digalakkan meninggikan suara ketika berbual-bual. Perkara ini mungkin akan menyinggung perasaan keluarga tersebut. Hormatilah ahli keluarga jenazah yang bersedih. Mereka tidak mungkin akan faham kenapa orang lain masih boleh tersenyum dan ketawa apabila mereka sedang berduka.

Ceramah berkaitan dengan perkara tersebut adalah bagi mengisi  program Santai Inspirasi  anjuran Bahagian Pengurusan Korporat, Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang diadakan pada setiap hari Khamis jam 10 pagi secara dalam talian (webex meeting). Program yang  telah menarik ramai penyertaan dalam kalangan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) serta  masyarakat luar pada kali ini telah masuk ke musim kedua dengan terdapat beberapa pembaharuan. Di dalam siri  yang pertama bagi tahun 2022, ia telah  dipengerusikan oleh Encik Noor Azman Bin Yusof, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Menurut Ustaz Yusnaidi selaku penceramah jemputan, program santai Inspirasi ini banyak memberi faedah dan pengetahuan am kepada para pendengar malahan ia mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Beliau amat mengharapkan supaya program seperti akan dapat diperbanyakkan lagi melalui penganjuran dari  jabatan-jabatan lain di UUM.