All News

UUM Tonjol Keharmonian Negara Di Persada Antarabangsa

UUM Tonjol Keharmonian Negara Di Persada Antarabangsa

Karnival Varsiti IMT-GT 2019 berupaya mendidik generasi muda melalui aktiviti kebudayaan, sukan dan seminar dalam memupuk semangat kerjasama serta persefahaman serantau.

Dalam program tersebut Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Budaya dan Seni (PBS) telah berjaya mengungguli anugerah The Best Cultural Theme Performance melalui persembahan tarian Perpaduan Malaysia.

Karnival yang berlangsung pada 23 hingga 28 Ogos baru-baru ini bertempat di Universiti Walailak, Nakhon Si Thammarat, Thailand.

Anugerah ini diberi kepada kumpulan terbaik dengan mengambil kira semua aspek termasuk komitmen dalam kumpulan, latihan dan kombinasi antara universiti dalam mewakili negara yang terlibat dan menepati tema tahun ini iaitu ‘Exploring ASEAN Through Multicultural Dance’.

Menurut Pengarah PBS, Huzaidy Hussain, kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa UUM boleh bekerja dalam satu kumpulan dan sikap sebegini harus diteruskan.

“Adalah menjadi tanggungjawab PBS dalam menyemai dan mendidik para mahasiswa supaya mempunyai semangat berpasukan yang tinggi”, katanya.

“Ia juga dapat meningkatkan lagi kerjasama antara negara dalam rumpunan ASEAN serta meningkatkan apresiasi seni”, katanya lagi.

Selain itu kejayaan ini juga adalah hasil sokongan yang padu daripada semua pihak terutama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar Dr. Massudi Mahmuddin yang sentiasa membantu kegiatan kebudayaan di UUM.

Kejayaan kumpulan kebudayaan UUM yang diwakili oleh 25 orang ini menjadi pemangkin untuk terus maju kehadapan di samping mengharumkan nama UUM di persada antarabangsa.

Menurut Pengurus Pasukan Kebudayaan, Danial Muzaffar Suhairi, berkata kerjasama yang wujud dalam persembahan ini merupakan nilai dalam mengharmonikan hubungan sesama pelajar dari dalam dan luar negara.

“Setiap universiti menunjukkan komitment yang tinggi dan seterusnya menjadi kesinambungan yang menarik,” katanya mengakhiri perbualan.