UUM ONLINE: Pelajar baharu tekun dan penuh semangat mendengar pesanan yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Semester Pertama Sesi 2019/2020, di Dewan Mu'adzam Shah, UUM.
“Tahniah dan selamat datang, kepada semua pelajar baharu ke Universiti Utara Malaysia (UUM), anda gembira apabila diterima masuk ke UUM, begitu juga saya serta pihak Pengurusan universiti turut gembira menerima kehadiran saudara saudari sebagai sebahagian daripada warga UUM,” ucapnya.
Jelasnya, dengan keadaan dunia pekerjaan sekarang yang sangat mencabar, mahasiswa perlulah bersaing menjadi yang terbaik termasuklah mendapat keputusan cemerlang dalam akademik di samping bijak membawa diri dan yakin berkomunikasi.
“Jadikan universiti medan terbaik untuk mengasah soft skill dengan mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan kebolehan atau mempelajari perkara baharu.
“Dengan adanya pelajar antarabangsa dari pelbagai negara, peluang untuk berbahasa Inggeris sangatlah tinggi jadi jangan segan dan malu untuk belajar kerana di era Revolusi Industri Keempat IR4.0 ini, kepentingan industri mendesak pelajar untuk mahir dalam bahasa Inggeris.
“Dengan keperluan pekerjaan yang semakin mencabar kini, saya mahu pelajar menceburi bidang keusahawanan, bidang yang semakin mendapat tempat pada masa sekarang. UUM menyediakan peluang berniaga untuk menjadi seorang pengusaha,” pesannya.
UUM menyediakan My Stage yang memberi ruang melontarkan idea dan berkongsi pendapat namun pelajar perlu bertanggungjawab dalam setiap penyampaian dan tidak menyentuh sebarang isu sensitif memandangkan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan majmuk.
“Usahlah menjadi keyboard warrior yang hanya hebat di papan kekunci tetapi tidak berani bersuara secara terbuka. Universiti sentiasa menerima pandangan dan mendengar sebarang permasalahan yang dihadapi.
Tambahnya, universiti bukanlah tempat untuk menghukum atau mengawal pelajar, namun pelajar seharusnya mematuhi segala peraturan kampus selain mematuhi segala akta, perlembagaan dan statut universiti sesuai dengan ikrar yang dilafazkan.
“Sentiasalah bertanggungjawab pada diri sendiri dan mengamalkan nilai murni sepanjang berada di kampus.
“Hiduplah mengikut teras yang didukung UUM, iaitu Ilmu, Budi, Bakti dan terapkan tiga prinsip asas yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu kasih sayang, kegembiraan dan rasa hormat-menghormati sesama insan dalam diri masing-masing agar kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Gunalah peluang yang ada ini untuk membalas jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban Mereka telah meletakkan harapan tinggi untuk menjadi insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat jadi belajarlah dengan bersungguh-sungguh,” katanya lagi.