All News

Ibu Bapa Dan Waris Dapat Gambaran Tentang UUM

Oleh: Siti Fatimah Abdullah

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

 

 

 

UUM ONLINE: Majlis Taklimat Bersama Waris Sempena Minggu Suaikenal Pelajar Baharu Semester Pertama Sesi 2019/2020 memberi gambaran kepada ibu bapa dan waris tentang kampus yang bakal menjadi dunia baru anak-anak mereka.

Berucap pada majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kedatangan ibu bapa, waris dan pelajar yang menjadi sebahagian daripada warga UUM.  

Beliau berkongsi visi, misi universiti selain memperkenalkan barisan tertinggi yang terdiri daripada Canselor, Pro Canselor, Naib Canselor dan pegawai kanan universiti. 

Majlis ini memberi pendedahan kepada waris pelajar baharu untuk mengenali UUM dengan lebih mendalam dari segi akademik, kokurikulum, kemudahan yang disediakan, peraturan universiti, pencapaian dan perkembangan semasa.

“UUM merupakan universiti awam pertama menggunakan aplikasi kiplePay bagi melaksanakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai (cashless) di seluruh kampus.

“Sebagai tanda keprihatinan, UUM juga melancarkan program FoodBank dan On-CampusJobs bagi mengelak pelajar ‘ikat perut’ sepanjang tempoh pengajian mereka,” ujarnya di Dewan Mu’adzam Shah, semalam.

Selain itu katanya, Beta Gamma Sigma (BGS) Chapter UUM tersenarai sebagai Highest Honor Chapter 2019 dalam laman sesawang BGS International selain pernah tersenarai dalam Highest Honor Chapter 17-18.

Dalam pada itu, beliau menyeru pelajar yang mempunyai sebarang masalah untuk tampil memaklumkan kepada pihak universiti yang sentiasa bersedia membantu pelajar.

Pada akhir majlis, ibu bapa dan waris turut berkesempatan untuk mengikuti sesi soal jawab bagi merungkai persoalan tentang UUM dan pelajar.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti, Dekan Pusat Pengajian, Pegawai Kanan Universiti, Majlis Perwakilan Pelajar dan Sekretariat.