TOP NOTCH TRAINING: THE WORLD AT YOUR FEET

Oleh : H.Rasidah H.Rodzi

Gambar oleh:  UUM SELECT

 

HEPA ONLINE - “Graduan yang memiliki kepelbagaian  kemahiran insaniah  mempunyai  kelebihan  untuk menjadi Duta, Pegawai Tinggi Kerajaan, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat  berkaitan  Kerajaan (GLCs) dan Pegawai Tadbir Diplomatik”.

Demikian kata mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Mohd Azhar Yahya dalam kursus Top Notch Training (TNT) siri kedua, "The World at  Your Feet: Charting your Future Career  as a High Ranking Officials"  anjuran UUM Student  Excellence and Leadership Centre (UUM SELECT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Jelasnya, pembangunan  pelajar bukan  dinilai daripada  pencapaian akademik yang  cemerlang  sahaja tetapi  perlu fokus kepada  kemahiran, bakat dan kualiti yang menjadi sasaran industri untuk pasaran kerja dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 di era norma baharu.

“Perkhidmatan sokongan dalam  pembangunan kerjaya penting bagi memastikan pencapaian akademik terus cemerlang dan pelajar perlu memiliki kemahiran tinggi  mencakupi  minat, kematangan dalam membuat keputusan tentang kerjaya,” ujarnya.

Dalam konteks ini, selaras dengan visi UUM  mendidik pemimpin dengan karekter holistik untuk berkhidmat kepada komuniti  global untuk melahirkan graduan holistik,  beliau turut mengetengahkan kepentingan pendidikan tinggi dalam melahirkan graduan yang berilmu dan berwibawa supaya dapat bersaing dalam pasaran kerja yang sangat kompetitif.

TNT dihadiri pelajar dan peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang disaran supaya menitikberatkan penampilan diri, imej, asas komunikasi yang perlu dipraktikkan sebagai penjawat awam dan pelajar, tatasusila menghadiri temuduga dan sifat amanah dalam menjalankan tugas di samping semangat bekerja dalam pasukan.

Program selama  dua jam itu dikendalikan oleh pelajar program Sarjana Muda Falsafah, Undang- Undang dan Perniagaan (BPLB), Pusat Pengajian Undang- Undang, Farah Nabihah Rossaidi bertindak sebagai moderator.

Beliau yang juga Presiden Persatuan BPLB turut merancakkan sesi soal jawab tentang kemelut pasaran kerja dan kemahiran  yang memerlukan pelajar bersiapsiaga melengkapkan diri bagi menelusuri  perubahan landskap pasaran buruh seluruh dunia.