PENTING KESIHATAN AWAM NEGARA SEBAGAI TONGGAK KEUTUHAN MALAYSIA

Oleh. H.Rasidah H. Rodzi
Gambar oleh: UUM Select

HEPA ONLINE : Umum mengetahui Malaysia semakin menghampiri sasaran imuniti berkelompok setelah perlaksanaan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan. Namun, pelbagai persepsi berlegar di minda berkaitan varian baru virus COVID-19 ditokoktambah dengan keengganan sesetengah pihak untuk menerima vaksinasi bagi mencegah penularan wabak tersebut. Bahkan keadaan turut mengamit isu kesihatan mental, gejala membunuh diri yang kian melonjak dalam komuniti tatkala mengharungi situasi yang mencabar di seluruh dunia.

Dalam konteks ini, persoalan berkaitan bagaimana kesihatan awam negara dapat menjadi tonggak keutuhan Malaysia telah menarik perhatian umum bahkan menjadi satu titiktolak demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

Menyedari hakikat pentingnya kesihatan awam diutamakan, Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (UUM SELECT) Jabatan Hal Ehwal Pelajar melalui program Select Talk bersama Pengarah Hospital Kuala Nerang,
Dr. Muhammad Shauqi Hj Abdul Kadir
membuka platform pencerahan dalam usaha meningkatkan keprihatinan dalam kalangan komuniti.

Select Talk yang dikendalikan pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Tunku Puteri Intan Safinaz School of Accountancy (TISSA)
Sarah Kamarun Nisham bersempena Hari Malaysia
bertepatan dengan situasi penting dalam kemelut menangkis Covid19 di Malaysia telah mengutarakan pelbagai sentimen negatif dan positif yang berlaku hari ini untuk dikupas oleh Pengarah Hospital Kuala Nerang.

Dr. Muhammad berkata ketika diajukan aspek tersebut, "kesihatan awam menjadi tonggak keutuhan negara malahan memerangi Covid19 diumpamakan bagai peperangan bagi seluruh rakyat Malaysia. Jika dahulu peperangan menentang musuh yang nyata, pada masa sekarang peperangan yang dihadapi berbentuk wabak COVID-19."

" Penting bagi seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memerangi wabak yang mengancam nyawa kita".

"Walaupun petugas kesihatan merupakan barisan hadapan negara tetapi seluruh rakyat Malaysia merupakan barisan hadapan bagi diri sendiri dan ahli keluarga" tambah beliau.

"Kemenangan yang diidamkan oleh seluruh rakyat boleh direalisasikan jika kita bersatu dalam menyokong program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan".

Seterusnya beliau menegaskan mengenai kepentingan vaksinasi yang diketahui lebih banyak faedah daripada mudarat. Vaksinasi bagi mereka yang tiada halangan kesihatan akan membantu menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri tetapi juga ahli keluarga dan mereka yang mempunyai komplikasi kesihatan.

Selain itu, impak yang dihadapi akibat COVID-19 terutamanya terhadap kesihatan mental perlu menggariskan kepentingan mengenal pasti masalah yang dilalui serta mencari saluran komunikasi yang bersesuaian bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Kesihatan awam amat penting dan perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak. Justeru, dengan pencerahan yang diberikan oleh Pengarah Hospital Kuala Nerang dapat dimanfaatkan bersama untuk Malaysia tercinta.

Senada itu,. Select talk turut mengenengahkan peluang dan pengalaman bagi pelajar dalam merealisasikan strategi Select melalui Media Appearance Project ( M.A.P).