Previous Next

KURSUS PENGURUSAN ORGANISASI 2019 - INASIS MISC

Oleh: Siti Hajar binti Mhd Azhar.

INASIS MISC : Majlis Tertinggi Inapan Siswa (INASIS) MISC telah menganjurkan ‘Kursus Pengurusan Organisasi 2019’ sempena pelantikan baharu Jawatankuasa Kepimpinan Pembangunan Siswa dan Pembantu Penghuni (JKPS&RA) INASIS MISC, Universiti Utara Malaysia sesi 2019/2020.

Program tersebut telah diadakan di Myangkasa Akademi & Resort, Langkawi dan melibatkan penyertaan daripada 39 orang peserta yang terdiri daripada 13 orang peserta lelaki dan 16 orang peserta perempuan yang merupakan ahli-ahli JKPS INASIS MISC sesi 2019/2020.

Program ‘Kursus Pengurusan Organisasi 2019’ secara objektifnya adalah untuk mendedahkan barisan kepimpinan dengan cara pengurusan dan pelaksanaan program yang betul. Di samping itu, program ini secara tidak langsung dapat menguatkan lagi hubungan antara barisan kepimpinan dan pengurusan INASIS MISC.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik yang berkonsepkan kerjasama dalam kalangan ahli kumpulan dan sekaligus mendidik peserta untuk menguruskan masa dengan baik. Majlis Tertinggi Inapan Siswa MISC telah menjemput Muhammad Noor Fitri yang merupakan pegawai psikologi dari Unit Bimbingan dan Kaunseling, U-assist, UUM selaku penceramah jemputan. Turut hadir Pengetua INASIS MISC, Azhar Anis Mohammad dan Penolong Pengetua, Ruzaidi Saad dan Faridah Awang.

Najihah Nasution Sulfan Syah, Pengarah Kursus Pengurusan Organisasi 2019 berkata, dia sangat berpuas hati dengan komitmen yang diberikan oleh peserta dalam menjayakan program tersebut. Pelbagai aktiviti yang telah dijalankan nampaknya sedikit sebanyak telah membuka minda para peserta tentang cara pengurusan yang betul seiring dengan matlamat dan objektif yang telah ditetapkan.

“Harapan saya semoga ikatan yang telah dijalinkan semasa Program Kursus Pengurusan Organisasi 2019 ini, akan kekal terjalin dan semangat sepasukan itu akan terus dibawa dalam menjalankan tugas kelak” katanya.