9 JANUARI 2025 – Kolaborasi antara INASIS Bank Muamalat dan INASIS Yayasan Al Bukhari (YAB) bersama Pusat Islam telah menganjurkan Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat sempena Peperiksaan Akhir Semester A241. Program ini telah berlangsung di Surau Laluan C, Al-Muqarrabin dan disertai oleh beberapa jemputan VIP dan pelajar terutamanya dari INASIS Bank Muamalat dan INASIS Yayasan Al Bukhari.
Majlis ini bertujuan untuk memohon keberkatan dan kemudahan daripada Allah SWT bagi semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan akhir. Selain itu, majlis ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk menenangkan jiwa dan minda mereka sebelum menghadapi tekanan peperiksaan. Akhir sekali, majlis ini memberikan peluang kepada pelajar dan staf untuk bersama-sama dalam satu aktiviti yang bermakna supaya dapat memupuk semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti INASIS.
Majlis bermula dengan solat maghrib berjemaah dan diikuti dengan solat hajat berjemaah yang penuh khusyuk dan tawaduk. Majlis diteruskan dengan bacaan Yaasin dan seterusnya ucapan daripada Ustaz Kamil iaitu jemputan dari Pusat Islam. Beliau juga turut memberi motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha dengan bersungguh-sungguh sambil bertawakal kepada Allah.
Secara kesimpulannya, Majlis Bacaan Yaasin dan Solat Hajat Sempena Peperiksaan Akhir Semester A241 ini berjaya mencipta suasana yang penuh keberkatan dan inspirasi untuk semua yang hadir. Diharapkan, program ini dapat menjadi amalan tahunan yang terus menyokong Pembangunan holistik pelajar, bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari aspek spiritual.