PERTANDINGAN IPTA BEBAS DENGGI PLATFORM HAPUS DENGGI DALAM KAMPUS

Source: Unit Komunikasi Korporat <This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.;

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

 

UUM ONLINE: Kes demam denggi yang dilihat semakin meningkat di universiti awam telah mendorong UUM untuk mengawal dan menghapuskan nyamuk aedes di sekitar kampus menerusi pelbagai aktiviti bagi mendidik warga kampus.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Abdul Malek Abdul Karim berkata, penyebaran ilmu merupakan strategi yang ditekankan UUM dalam usaha menghapuskan denggi itu.

Menurutnya, pihak universiti percaya kesedaran staf dan pelajar adalah kunci utama dan paling berkesan bagi menghapuskan penyakit bawaan nyamuk aedes.

"Justeru, kita telah mengadakan pelbagai aktiviti yang boleh memberi kesedaran kepada seluruh warga kampus seperti ceramah bebas aedes, latihan asas pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes dan pameran denggi dengan kerjasama agensi terlibat.

"UUM juga mengambil inisiatif mewujudkan borang audit kendiri yang digunakan staf dan pelajar sebagai panduan dan bagi tujuan merekod aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes yang dijalankan di sekitar Inapan Siswa (Inasis) setiap minggu," katanya pada Majlis Pembukaan Audit Pertandingan IPTA Bebas Denggi 2017/2018 di Bilik Senat, tadi.

Menurut beliau, pertandingan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi dan IM4U itu tersebut adalah penting dalam usaha menyedarkan orang awam khususnya golongan pelajar di universiti tentang bahaya penyakit denggi itu.

Katanya, Kempen Bebas Aedes ini bukan hanya tertumpu kepada penyakit denggi tetapi pencegahan untuk penyakit lain juga seperti Zika dan Chikugunya.

Tambah beliau lagi, UUM sendiri melalui Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah melantik Aedes patrol dari kalangan staf pentadbiran untuk memantau kawasan PTJ masing-masing, selain bas kitaran yang turut memainkan video kempen Aedes sebagai hebahan kepada pelajar.

"Adalah menjadi hasrat UUM untuk memastikan matlamat menjadikan keseluruhan premis UUM adalah ebrsih dan bebas daripada wabak aedes ini akan tercapai dengan adanya kerjasama semua pihak," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Juruaudit, Yessy Octavia Misdi berkata, beliau berterima kasih atas komitmen diberikan UUM dalam usaha menghapuskan denggi dan mengubah tingkah laku masyarakat khususnya mahasiswa.

Menurut Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan Kesihatan, KKM, idea pertandingan itu tercetus pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Denggi Kebangsaan yang ingin melibatkan universiti dalam program menghapus denggi atau aedes itu.