ENAM KAFATERIA UUM PEROLEH PENSIJILAN HALAL JAKIM

 Source: Unit Komunikasi Korporat <This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.;

Oleh: Nordiana Shafiee

Gambar oleh: Abdul Halim Husain

 

UUM ONLINE: Menyedari aspek halal menjadi kepentingan sistem kualiti dalam dunia perniagaan bagi menarik pelanggan Islam dan juga bukan Islam, enam kafeteria yang beroperasi dalam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), hari ini.

Penyerahan sijil tersebut disempurnakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEIK), Dato' Abd Rahman Ismail di Auditorium Pusat Penginapan Pelajar (SAC) dan turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Abdul Malek Abdul Karim yang mewakili Naib Canselor.

Dato' Abd Rahman berkata, sijil halal ini adalah satu perkara mustahak dan UUM merupakan universiti pertama di negeri ini dan utara yang mengambil langkah untuk mendapatkan pensijilan halal tersebut, seterusnya menjadikan UUM berada dalam zon halalan toyiban.

Menurutnya, kini masyarakat menghadapi keadaan dalam dua jenis pola iaitu pertama, tidak mengira status halal atau haram sesuatu makanan dan kedua, sangat menjaga kepada syarak Islam.

"Kita mahu umat Islam dan Melayu memilih makanan yang halalan toyiban kerana hasil makanan itu juga akan berhubung kait dengan hati, perasaan dan akal manusia.

"Sehubungan itu, saya ingin ucapkan tahniah kepada pengusaha kafeteria UUM kerana menyedari kepentingan halal ini dan juga keperluan pensijilan tersebut dalam perniagaan mereka," katanya pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Sijil Halal Jakim.

Tambahnya, dengan adanya sijil halal itu akan menambahkan keyakinan pelanggan kerana berasa selamat dan puas hati dengan makanan yang dimakan mereka.

Katanya, semua bangsa kini telah memilih kedai yang mempunyai pensijilan halal bukan sahaja halal tetapi dari aspek penjagaan kebersihan penyediaan makanan juga.

"Semua penguasaha makanan tidak berkecuali pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh memohon pensijilan halal ini secara atas talian dan kelulusan hanya mengambil tempoh sebulan sahaja jika menepati syarat.

"Saya berharap semua penguasaha kafeteria UUM akan mendapat sijil halal ini dan turut menjaga kebersihan bagi mengelak jangkitan penyakit," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (hal Ehwal Pelajar dan Alumni) berkata, penyerahan sijil halal itu adalah fasa pertama dan akan diikuti fasa kedua tidak lama lagi kerana UUM mahukan semua kafeteria di sini ada sijil halal kerana tidak mahu timbul keraguan dan sangsi pada makanan dan minuman disediakan.

Ujar beliau, UUM berterima kasih kepada pengusaha kafeteria kerana prihatin dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sijil itu, seterusnya menyempurnakan hasrat kerajaan untuk menjadi hab halal menjelang 2020.

Pengusaha kafeteria, Abd Rashid Ishak berkata, melihat kepada situasi sekarang menyebabkan dia mengambil inisiatif untuk mendapatkan sijil halal.

Menurutnya, walaupun sebelum menerima pensijilan halal Jakim, kafeteria yang diusahakan selama 25 tahun di UUM itu tetap mengutamakan penjagaan kebersihan dan bahan digunakan adalah halal dan mengikut syarak Islam.

Katanya, apabila memperoleh sijil itu akan menambahkan lagi keyakinan pelanggan terutamanya golongan pelajar untuk makan atau beli makanan yang dijual tanpa rasa was-was.