Sesi Bersama Waris Beri Kefahaman Lebih Mendalam Mengenai UUM

Source: Unit Komunikasi Korporat <This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Oleh: Mohd Amir Aizat Sainon

Gambar oleh: Abdul Halim Husain 

 

UUM ONLINE: Ibu bapa dan waris pelajar baharu Sesi Pertama 2017/2018 Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diberi taklimat mengenai UUM tengah hari tadi.

Taklimat disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Abdul Malek Hj Abdul Karim mewakili Naib Canselor di Dewan Mu'Adzam Shah. Taklimat tersebut turut disiarkan secara langsung di Dewan Bukit Kachi.

Sesi taklimat ini memberi peluang kepada ibu bapa dan waris pelajar baharu untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam mengenai UUM meliputi aspek akademik, kokurikulum, fasiliti yang disediakan, pencapaian dan peraturan-peraturan universiti.

Prof Dr Abdul Malek turut berpesan kepada ibu bapa dan waris supaya memberi perhatian dan mengambil berat pencapaian akademik anak masing-masing bagi memastikan mereka terus cemerlang dari semasa ke semasa.

Selain itu beliau juga memohon agar pelajar yang mempunyai sebarang masalah di UUM untuk tampil ke hadapan dan memaklumkan kepada pihak Universiti khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang sentiasa bersedia untuk membantu pelajar.

Sesi soal jawab turut diadakan pada taklimat tersebut bagi menjawab sebarang persoalan mengenai UUM  dan isu-isu berkaitan pelajar.

Hadir sama ahli-ahli Jawatankuasa Universiti dan pegawai-pegawai UUM.