2

KENAIKAN PANGKAT PROFESOR 12 STAF AKADEMIK CATAT REKOD TERTINGGI

Source: Unit Komunikasi Korporat <This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.;

UUM ONLINE: Kenaikan pangkat 12 staf akademik ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7) mencatatkan rekod tertinggi dalam tempoh lapan tahun di bawah teraju Naib Canselor, Prof Dato' Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak sejak 2010.

Menurut beliau, dengan kenaikan itu, menjadikan jumlah Profesor di UUM adalah seramai 72 orang dan secara keseluruhan jumlah staf akademik yang telah menerima kenaikan pangkat dari 2010 adalah seramai 445.

Katanya, kenaikan pangkat itu juga menunjukkan bahawa universiti mengambil berat kebajikan staf khususnya staf akademik di atas segala usaha dan pengorbanan mereka yang menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

"Jawatan Profesor ini adalah satu pencapaian tertinggi yang menjadi impian setiap ahli akademik yang memilih kerjaya sebagai pendidik yang mana ia merupakan kemuncak kerjaya ahli akademik.

"Kenaikan pangkat ini akan menjadi dorongan dan motivasi serta pengiktirafan kepada staf akademik yang terdiri daripada ahli Persatuan Staf Akademik Universiti Utara Malaysia (PERSATU) untuk terus berusaha dengan cemerlang," katanya pada Majlis Penyampaian Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik dan Majlis Sambutan Aidilfitri PERSATU di Foyer Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC), semalam.

Tambah beliau, dengan bilangan Profesor yang ramai di universiti ini diharap dapat memberi impak besar kepada universiti menerusi kecemerlangan mereka, sekali gus membawa reputasi universiti ke tahap tertinggi lagi.

Ujarnya, hari ini, UUM sebagai universiti pengurusan tidak lagi di pandang serong atau di pandang rendah berikutan pelbagai pencapaian dikecapi termasuk akreditasi yang diperoleh dan menjadikan UUM setanding Universiti Malaya (UM) khususnya dalam bidang Pengurusan Perniagaan.

Naib Canselor turut menekankan supaya staf akademik dapat memajukan Pusat Kecemerlangan (CoE) dengan menjalinkan kerjasama dengan universiti luar negara serta merancakkan bidang penyelidikan dan penerbitan.

Pada majlis itu, seramai 12 staf akademik berjawatan Prof Madya menerima watikah kenaikan pangkat ke jawatan Profesor berkuat kuasa 3 Julai lalu termasuk Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Abdul Malek Abdul Karim.