INASIS TRADEWINDS ONLINE: KARNIVAL HARI TERBUKA MASJID ARRUHAMA KAMPUNG KEPALA PARIT 2018

 Disediakan oleh: Muhammad Hafeez Zakaria

INASIS TRADEWINDS ONLINE:  Pada 7 April 2018 yang lalu, Karnival Hari Terbuka telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (INASIS) Tradewinds. Karnival ini diketuai oleh Muhammad Aizat Md Sin dengan kerjasama Jawatankuasa Kampung Kepala Parit. Karnival ini telah dirasmikan oleh En. Mohd Sobri bin Karim selaku Penghulu Mukim Bukit Raya. Karnival ini turut dihadiri imam masjid,Tuan Haji Zainol bin Lazim dan  Pengerusi JKKK Kampung Kepala Parit,Tuan Haji Abdul Razak bin Othman. Majlis ini meriah dengan kehadiran pengetua INASIS Tradewinds, En Amdan Mohamed yang meluangkan masa untuk beramah mesra dengan penduduk kampung. Kira-Kira 150 orang yang terdiri daripada penduduk kampung Kepala Parit, Kampung Tokai, dan Kampung Batu 8, kakitangan pengurusan INASIS Tradewinds, mahasiswa tempatan dan antarabangsa daripada warganegara Nigeria, Bangladesh, Algeria, Yamen dan Pakistan menghadiri majlis ini.

Tujuan utama karnival ini adalah untuk membentuk jalinan mesra selain mengeratkan silaturahim antara mahasiswa dan penduduk kampung. Karnival ini juga berjaya memberi pendedahan kepada mahasiswa untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya hidup masyarakat setempat.

Karnival ini dimulakan dengan gotong royong mengecat pintu pagar masjid, demonstrasi masakan dan pameran kesihatan. Dalam ucapan, Penghulu Mukim Bukit Raya menyifatkan karnival ini diadakan sebagai bagi mewujudkan ukhuwah antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan penduduk Kampung Kepala Parit, Kampung Tokai, dan Kampung Batu 8.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian bantuan kepada penduduk kampung hasil daripada kutipan sumbangan daripada orang ramai. Dua puluh orang penduduk kampung dipilih untuk menerima sumbangan yang merupakan barangan keperluan harian. Sumbangan barangan wakaf turut diberikan kepada Masjid Arruhama? untuk kegunaan para jemaah. Karnival ini diakhiri dengan 19 cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir ke Karnival ini.