INASIS PETRONAS ONLINE : PENGASAS AQUA BERKONGSI RESEPI KEJAYAAN BERSAMA PELAJAR UUM

 HEP ONLINE: Sintok, 15 Mac 2018. Sebuah program Business Talk Alumni Sharing With Aqua telah diadakan di Dewan Serbaguna Inasis PETRONAS. Program itu menyasarkan pelajar-pelajar tahun akhir di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bertujuan untuk memberikan jalan dan gambaran kepada pelajar mengenai perjalanan masa hadapan mereka selepas menamatkan pengajian nanti.

Program itu merangkumi dua slot iaitu slot pertama adalah pengenalan mengenai Keahlian Alumni UUM dan beberapa program yang dijalankan di bawah persatuan Alumni UUM. Slot ini disampaikan oleh En. Omar Ibrahim, Penolong Pengarah Kanan Pusat Alumni, UUM.

Slot kedua pula merupakan slot ceramah oleh pengasas  produk kosmetik AQUA International, Puan Salina Binti Ayob. Beliau merupakan lulusan UUM pada tahun 2000. Dalam ceramahnya, beliau mengingatkan pelajar tentang kesusahan ibu bapa mencari rezeki untuk membiaya  pelajaran di universiti.

“Untuk menjadi orang berjaya kita perlu menyucikan kerohanian dan mentaati ibu bapa,” kata Puan Salina mengingatkan para pelajar.

 “Setiap manusia ada masalah tetapi cuba elakkan dari aura negatif kerana ia mempengaruhi konsistensi di dalam diri kita,” katanya.

Selesai sesi perkongsian pengalaman dan soal jawab, majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata oleh Inasis PETRONAS dan Pusat Alumni kepada Puan Salina sebagai tanda penghargaan.