INASIS BSN ONLINE: BSN Fiesta 2018

 Nurul Syazziana Mohd Kamil

Sintok – Bagi mengekalkan tradisi tahunan, Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa BSN Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan BSN Fiesta 2018 pada 14 hingga 17 Mac 2018.

Karnival yang julung kali ini, diadakan mengikut tema iaitu hari pertama Beat the Music, hari kedua Let There be Light, tema hari ketiga Sarong Day dan hari terakhir BSN Fiesta. Majlis perasmian BSN Fiesta 2018 telah disempurnakan oleh Pengetua Inapan Siswa BSN, Tuan Haji Fairus Bin Abdul Majid. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Felo Inapan Siswa BSN.

Selesai majlis perasmian, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar UUM, Prof. Dr. Abdul Malek Hj. Abdul Karim ditemani Pengarah Hal Ehwal Pelajar UUM, Dr. Mohd Dino Khairi Bin Sharifuddin telah hadir dan meluangkan masa melawat gerai-gerai jualan di sekitar perkarangan Inasis BSN. Beliau turut bergambar di gerai foto yang disediakan oleh Photobooth2u.studio.

Objektif utama BSN Fiesta 2018 ini adalah untuk melibatkan pelajar dan memberi pengalaman dalam mengurus dan menganjurkan karnival seperti ini. Selain itu, karnival ini  diadakan bagi menarik para pelajar berkunjung ke Inasis BSN dan mengeratkan hubungan silaturahim sesama pelajar.

Aina Hannani Binti Zainal Abidin, selaku Presiden Inasis BSN juga merangkap pengarah BSN Fiesta 2018.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah derma darah, rumah hantu, kelas belajar Bahasa Korea dan pertandingan iaitu nyanyian BSN Star, seni khat, Zumba for Health, bola beracun, pertandingan make-up, cabaran sosej, peragaan pakaian tradisional, menghias kek cawan, mewarna kanak-kanak, melukis inai dan pameran Mini Zoo. BSN Fiesta 2018 juga meriah dengan penglibatan peniaga luar yang meliputi jualan makanan, minuman, food trucks dan pakaian.

Manakala hari kedua BSN Fiesta 2018 yang mengangkat tema Islamik telah mendapat sambutan ramai pengunjung dengan kehadiran penulis novel terkenal, Puan Sabatini Dzue yang menyampaikan ceramah dengan tajuk Cinta & Cita-Cita. Tambahan pula, acara yang paling menarik perhatian ramai apabila ada penyertaan pelajar antarabangsa daripada China dalam pertandingan peragaan pakaian tradisional yang telah dilangsungkan pada hari ketiga dengan tema Sarong Day yang turut melayakkan beliau membawa pulang hadiah tempat ketiga.

Majlis penutup program ini dihadiri oleh pengetua, felo Inasis BSN serta barisan tetamu jemputan. Majlis diserikan dengan nyanyian oleh pemenang-pemenang BSN Star dan acara penyampaian hadiah bagi semua pemenang dalam acara yang pertandingan yang diadakan.