PELAJAR TAHUN 1 IKUTI PROGRAM FORMULA ONE ANJURAN PUSAT KAUNSELING, JABATAN HAL EHWAL PELAJAR

Pusat Kaunseling, Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan program Formula One khusus bagi pelajar-pelajar tahun satu.

Program Formula One ini telah diadakan pada 27 Februari 2018 di Dewan Tan Sri Othman dan di Litar Go-Kart UUM. Program yang bermula pada jam 2.30 petang itu dihadiri kira-kira 200 orang pelajar tahun satu. Dalam program ini, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang diketuai oleh seorang pegawai kaunseling serta dibantu oleh beberapa orang fasilitator yang terdiri daripada kaunselor Pusat Kaunseling. Setiap pelajar juga diberi peluang untuk memandu go kart sebanyak satu pusingan litar dalam slot kedua program ini.

Program ini diadakan bertujuan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar tahun satu akan kehidupan dan tanggungjawab mereka sebagai mahasiswa universiti. Di samping itu, para peserta diajar cara menjalani kehidupan di kampus selaku mahasiswa dari aspek penyesuaian dan pengurusan emosi diri. Setiap mahasiswa yang terlibat berpeluang merasai pengalaman memandu go kart di dalam kampus.