PUSAT PENGINAPAN PELAJAR (SAC) ONLINE: WUJUDKAN TABUNG KEBAJIKAN KOMUNITI SETEMPAT

Pada 28 Disember 2017, SAC UUM telah  menyampaikan sumbangan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 24 murid sekolah rendah dan menengah di Auditorium SAC. Sumbangan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM3120.00 kepada keluarga pelajar kurang berkemampuan, anak yatim, dan Orang Kelainan Upaya (OKU). Bantuan berkenaan merupakan sepasang pakaian seragam sekolah termasuk tudung bagi murid perempuan, kasut, stokin, beg sekolah dan alat tulis bernilai RM130 seorang.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Prof. Dr. Nurahimah Mohd Yusoff, isteri kepada Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Utara Malaysia (UUM). Dalam ucapannya, beliau memuji usaha SAC dan telah menyarankan agar SAC mewujudkan Tabung Kebajikan Komuniti Setempat (TKKS) bagi memudahkan individu yang ingin menyalurkan sumbangan atau derma berbuat demikian  sepanjang tahun yang boleh disampaikan kepada mereka yang memerlukan bukan sahaja pada musim kembali ke sekolah tetapi pada hari perayaan seperti hari raya.


Pada masa ini, sumbangan yang dilakukan adalah secara ad hoc pada masa tertentu sahaja dan kemungkinan mereka yang ingin terus menghulurkan sumbangan sangat ramai. Beliau juga menyarankan selain daripada sumbangan material, pelajar ini juga perlu diberi perhatian dan bantuan dari aspek akademik dan pendekatan secara psikologi agar pelajar  dapat menyesuaikan diri serta tidak terjebak dengan keadaan yang tidak sihat.

Sementara itu Pengarah SAC UUM, Encik Noor Azman Yusof berkata  program Kembali ke Sekolah ini merupakan tahun kedua pelaksanaan dan akan dijadikan program tahunan SAC. Beliau turut mengucapkan terima kasih untuk penyumbang kali ini yang terdiri daripada individu dan organisasi, iaitu School of Multimedia Technology and Communication (SMMTC), UNIC Leisure, ADUN Jitra dan syarikat-syarikat luar.

Seorang daripada penerima sumbangan ini iaitu bapa kepada anak OKU, Jasni Hashim dari Lembah Keriang berkata bantuan berkenaan membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan yang perlu disediakan untuk anak-anaknya. "Perbelanjaan untuk sesi persekolahan semakin tinggi dengan pelbagai bayaran yuran, keperluan persekolahan dan buku. Alhamdulillah bantuan ini meringankan beban saya,? katanya yang juga pekerja pencucian UPSB di UUM.