INASIS MAYBANK ONLINE: RETREAT STAF PENTADBIRAN INASIS MAYBANK DI LANGKAWI

Pentadbiran INASIS Maybank telah menganjurkan program Retreat Staf Pentadbiran INASIS Maybank di Pulau Langkawi pada 24 hingga 26 November 2017. Program ini merupakan program yang julung-julung kali diadakan sebelum 2017 melabuhkan tirainya. Program ini sebagai satu daripada insentif dan penghargaan kepada setiap staf pentadbiran INASIS Maybank atas komitmen dan kecemerlangan mereka memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang 2017 kepada penghuni dan pelajar di INASIS Maybank. Pelajar yang menghuni di INASIS Maybank terdiri daripada pelajar pascasiswazah berkeluarga dan majoritinya adalah pelajar antarabangsa daripada lebih 25 buah negara.

Sesi ice breaking bersama Pengetua INASIS Maybank, Tuan Haji Mohd Yusnaidi bin Md Sabri merupakan sesi pembukaan kepada program yang menerapkan konsep ikatan ukhuwah dan kekeluargaan ini sejajar dengan motto INASIS Maybank We are 1 Family. Dalam sesi pembukaan ini, pengetua telah mengupas petikan ayat al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah (ayat 30-38) dan menjadikan ia sebagai dasar dalam menekankan konsep kekeluargaan dan kesepakatan bekerja dalam satu kumpulan sebagai asas dalam mengekalkan kecemerlangan sesebuah organisasi. Beliau juga menambah tentang setiap kebaikan yang dibuat akan dibalas dengan lebih banyak kebaikan sekiranya dilakukan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Beliau sentiasa mengingatkan kepada staf di INASIS Maybank agar menjadikan setiap kebaikan yang dilakukan sebagai amal soleh.

Staf pentadbiran INASIS Maybank telah mengambil peluang dalam program ini sebagai platform terbaik untuk sesi perkongsian ilmu, pandangan, pengalaman dan cabaran sepanjang memberikan perkhidmatan kepada pelajar antarabangsa khususnya. Program ini telah memberikan impak yang besar kepada setiap individu terutamanya staf pentadbiran INASIS Maybank agar terus mengekalkan prestasi terbaik dalam memberikan perkhidmatan yang cemerlang pada 2018.