w

INASIS BANK RAKYAT: DISCOVER MALAY HERITAGE IN VIETNAM SELAMI KEHIDUPAN MASYARAKAT VIETNAM

 

Oleh: Mohd Dzulridza Zolkepli

Gambar oleh: Delipkumar A/L S.Thinakaran

INASIS BANK RAKYAT: Menyelami kehidupan masyarakat Vietnam meninggalkan 1001 pengalaman berharga kepada 25 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berkunjung ke negara tersebut sempena program ?Discover Malay Heritage in Vietnam? selama lima hari mulai 3 Ogos lalu.

Program mobility luar negara ke-28 anjuran Inasis BankRakyat itu memulakan perjalanan di Bandar Ho Chi Minh dan sekitarnya.

Pengarah program, Nur Kamilah Hamzah berkata, program itu bertujuan untuk melihat dan mengenal budaya masyarakat Vietnam di samping melatih keyakinan peserta berkomunikasi dengan penduduk tempatan di sana.

Menurutnya, antara pengisian ?Discover Malay Heritage in Vietnam? ialah mengadakan kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh yang mana pelajar telah disambut Pengarah Pendidikan Malaysia, Konsulat Jeneral Malaysia, Normala Baharudin.

Katanya, kunjungan hormat selama dua jam itu diisi dengan perkongsian pengalaman secara santai dan sesi soal jawab.

?Kemudian, kami berkunjung ke Van Hien University dan disambut mesra oleh Madam Thao, Pegawai Pentadbiran bersama pelajar universiti tersebut.

?Di sini, kami berkongsi perbezaan pengalaman dari segi aktiviti pelajar di universiti, budaya dan juga keistimewaan UUM sebelum mengakhiri kunjungan tersebut dengan melawat sekitar kampus Van Hien University,? katanya.

Perjalanan hari kedua diteruskan lagi dengan mengadakan program tanggungjawab social Korporat (CSR) di madrasah Masjid Noorul Ehsan yang terletak di Perkampungan Duong Da yang merupakan penempatan bagi masyarakat beragama Islam.

Nur Kamilah berkata, di madrasah itu, mereka berpeluang berkongsi ilmu dengan mengajar lebih 200 pelajar berusia lima hingga 16 tahun.

Ujarnya, mahasiswa UUM yang terlibat menggunakan kemahiran dan ilmu yang ada mengajar anak-anak tersebut Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Malaysia walaupun menghadapi kesukaran disebabkan perbezaan bahasa.

Tambahnya lagi, selain mengajar, mereka juga menceriakan hari anak-anak tersebut dengan memberi hadiah bagi setiap soalan kuiz yang berjaya dijawab.

Perkampungan Duong Da diduduki 200 keluarga berketurunan Champa yang sentiasa melayan mesra kehadiran pelajar yang bermalam di perkampungan tersebut, malah pelajar disediakan hidangan makanan tradisi penduduk tempatan di situ.

?Perjalanan pulang kami ke bandar Ho Chi Minh pada hari keempat sangat mengujakan apabila semua peserta berpeluang menaiki sampan kecil yang hanya memuatkan empat orang sahaja untuk menyusuri Delta Mekong.

?Sepanjang ekplorasi tersebut, kami melihat pelbagai jenis hasil kraftangan tempatan yang dijual, keunikan budaya dan juga sumber ekonomi penduduk setempat,? katanya.

Pelajar Sarjana Muda Keusahawanan itu berkata, sepanjang lawatan mereka itu banyak perkara baharu yang telah dipelajari dan berharap agar program seumpama ini dijadikan teras untuk memperoleh perkongsian yang lebih mantap dalam  mengenali budaya negara lain.