w

UUM MUNCUL NAIB JOHAN PIDATO TAMIL PERINGKAT KEBANGSAAN 2017

 

UNIT DEBAT, ADVOKASI DAN ORATORI: Nitthiya A/P Saigon telah muncul sebagai Naib Johan dalam Pertandingan Pidato Pesu Tamizha Pesu dengan membawa pulang RM2,000.00. Kejayaan ini membolehkan Nitthiya mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Sri Lanka pada November 2017. Pertandingan Pidato Pesu Tamizha Pesu ini merupakan sebuah pertandingan pidato Tamil bagi Institusi Pendidikan Tinggi 2017 yang menghimpunkan para pelajar seluruh Malaysia yang terdiri daripada universiti awam dan swasta, politeknik-politeknik dan institusi-institusi pendidikan guru (IPG).  Ia telah dianjurkan dengan jayanya oleh Vanakkam Malaysia DotCom Sdn. Bhd dan ASTRO Ulagam yang telah bermula sejak April 2017 dan rakaman pertandingan ini akan disiarkan melalui saluran ASTRO Vannavil. Seramai 150 peserta telah menghantar satu klip video pidato masing-masing kepada penganjur untuk dinilai dan dipilih.

Setelah dipilih melalui saringan juri, seramai 34 peserta telah dipilih untuk pusingan seterusnya dan perlu menghadirkan diri di Studio FINAS, Petaling Jaya pada bulan Mei 2017. Pusingan tersebut telah disaring melalui ujian pidato dan pertanyaan spontan dan seramai 16 peserta dipilih perlu menghadiri bengkel bagi persiapan ke peringkat akhir. Peringkat akhir pertandingan ini mempunyai tiga pusingan dan setiap pusingan yang melibatkan 16 peserta akan disingkirkan sehingga pusingan ketiga yang akan menyaksikan empat orang finalis. Keputusan tiga orang juri adalah muktamad dan para finalis perlu melalui ujian pidato, pertanyaan spontan berdasarkan rakaman video klip dan pertanyaan daripada juri.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Dato? P. Kamalanathan, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia. Johan telah dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia dan tempat ketiga dikongsi bersama oleh Universiti Malaysia Kelantan dan Politeknik Sultan Azlan Shah yang masing-masing membawa pulang RM2,500.00 dan RM1,500.00. Turur hadir pada majlis tersebut ialah En. Muhammad Hafiz Badarulzaman, Pengarah Unit Debat, Advokasi dan Oratori, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM.