Ahmad Safiuddin Ibrahim Menangi Peserta/Pendebat Terbaik Diskusi Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan Peringkat Negeri Kedah 2017

UNIT DEBAT, ADVOKASI & ORATORI: Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Kedah telah menganjurkan program Diskusi Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan Peringkat Negeri Kedah 2017 bertempat di Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPDA), Jitra, Kedah. Program ini melibatkan penyertaan empat buah institusi pendidikan tinggi sekitar Kedah iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM), Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPDA), Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim (IPSAH) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim.

Pelajar-pelajar yang terlibat akan berperanan sebagai ahli panel bagi membentangkan usul untuk dibahaskan. Selain itu, seorang pakar rujuk telah dilantik iaitu Encik Muhammad Izmer Yusof dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang telah memainkan peranan sebagai Yang Dipertua Dewan. Tujuan utama program ini adalah untuk meninjau corak pemikiran pemimpin masa dengan dengan melihat sejauh mana pandangan, harapan dan keyakinan para belia terhadap Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. 

UUM telah diwakili oleh Ahmad Safiuddin Ibrahim, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang dan Perniagaan dengan Kepujian, Mohd Azmir Shah Azmi, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Maklumat) dan M Shahadat Ali Nordin, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dengan Kepujian telah membawakan usul ?Sumbangan Belia Mempertahankan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.? Pertandingan tersebut menyaksikan UUM melalui Ahmad Safiudin Ibrahim telah dinobatkan sebagai peserta/pendebat terbaik dan hadiah telah disampaikan oleh Ybhg. Dato' Mohd Sukari Ab Hamid, Timbalan Ketua Pengarah (Penerangan Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia.

?Diharap belia dapat faham apa itu demokrasi serta amalkan penyuaraan pendapat dan kepimpinan yang berlandaskan prinsip demokrasi kukuh,? katanya.

Turut hadir dalam program diskusi tersebut ialah Puan Nor Azian Mohd Darus, Timbalan Pengarah IPDA, Encik Masnoor Ashaari, Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan, En. Aziman Hassan, Pengarah Jabatan Penerangan Kedah dan Encik Muhammad Hafiz Badarulzaman, Pengarah Unit Debat, Advokasi & Oratori Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang mewakili UUM.

Program ini telah dianjurkan sejak tiga tahun lalu dan merupakan salah satu strategi bagi menarik golongan belia untuk sama-sama menyemai semangat patrotisme dan cinta akan negara dikalangan pelajar disamping menjelaskan peranan dan tanggungjawab belia sebagai warganegara terhadap sistem Raja Berperlembagaan.